PADA saat ada yang sibuk memperkatakan tentang kemusnahan kehidupan di dunia menjelang tahun 2012, dunia yang didiami hari ini nampaknya kelihatan tidak mampu lagi untuk bertahan lebih lama. Ini berikutan pelbagai musibah dan bencana yang acap kali berlaku mengingatkan semua betapa dunia sememangnya sudah uzur dan segala kehidupan di dalamnya akan musnah jua apabila tiba detik yang ditentukan.
Bibit-bibit ke arah kemusnahan itu sudah mula dirasai di sana sini. Fenomena bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan ribut salji ekstrem telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada bumi dan isinya. Malah kawasan-kawasan yang jarang dilanda banjir besar seperti di Queensland Australia, Pakistan dan Arab Saudi kini terdedah kepada ancaman banjir yang mengorbankan nyawa dan kehilangan harta benda berskala besar.
Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di wilayah Queensland Australia sebagai contoh telah mengubah landskap setempat sehingga menjadi seperti sebuah pulau yang dikelilingi lautan lumpur. Malah beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia juga mengalami nasib yang sama apabila hujan lebat dan berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke kawasan yang rendah.
JIka bencana alam memusnahkan bumi semakin bertambah, apa kurangnya bencana keruntuhan akhlak dan moral segelintir masyarakat. Ia turut menunjukkan peningkatan ketara. Selain kes pembuangan bayi, kes penderaan kanak-kanak juga membimbangkan. Terbaru seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia di Johor Bahru akibat didera oleh ibu tirinya.
Ketamakan sebilangan pemborong dan pengedar yang menyorokkan barangan keperluan orang ramai turut membebankan pengguna dan menambah lagi bencana kesusahan yang dialami kini. Perbuatan tidak beretika itu kemungkinan bertujuan mendesak kerajaan supaya menaikkan harga barangan keperluan tertentu semacam menjadi trend yang tidak boleh dibiarkan berlanjutan.
Daripada krisis gula, tepung, beras dan kini isu kekurangan minyak masak pula hangat diperkatakan. Yang pasti golongan ini akan mengaut keuntungan tinggi dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah akan terus terhimpit dan tertindas menjadi mangsa keadaan.
Mungkinkah semua ini berlaku kesan pemanasan global yang melanda dunia atau disebabkan kerakusan tangan-tangan manusia menodai alam sehingga bumi seperti sudah tidak selamat lagi untuk dihuni. Ataukah mungkin ini terjadi akibat kemurkaan Allah SWT terhadap manusia yang terlibat mempersekutukannya, ingkar terhadap suruhan dan melanggar peraturannya sehingga perasaan belas dan malu lenyap dalam diri.
Walau apa pun jawapannya, bencana dan huru-hara hari kiamat yang lebih dahsyat tidak boleh dipersendakan ataupun digambarkan melalui khayalan fikiran manusia dalam filem Armagedon ataupun 2012, adaptasi cerita dongeng kaum Mayan.
Lebih daripada itu, umat Islam diajak bersedia dengan segala kudrat yang ada untuk menimbun amal kebaikan bagi berhadapan dengan hari perhitungan itu. Ini kerana segala kejayaan dan anugerah yang dikecapi di dunia hanya sementara dan tidak bertahan lama. Malah yang kekal adalah amal baik yang dilakukan ikhlas semata-mata mencari reda Ilahi sebagai bekalan menuju alam akhirat yang kekal abadi. Itulah hakikat kepada segala kemewahan dunia yang kadang-kadang menjadi fitnah dan ujian pula untuk pemiliknya.
Persoalan bilakah peristiwa dahsyat itu akan terjadi tidak penting untuk dibahaskan. Malah jika diteliti tiada satupun bencana dan musibah yang melanda dunia dapat diketahui secara tepat sekalipun dengan pelbagai teknologi dan peralatan canggih masa kini.
Justeru itu, sebelum terlambat gunakanlah kesempatan yang ada untuk berbuat kebajikan ataupun setidak-tidaknya umur yang ada tidak dibazirkan dengan perbuatan noda yang menyumbang kepada pelbagai bencana yang tidak berkesudahan.
No comments:
Post a Comment